May 16, 2009

Guru Oh Guru

Guru Oh Guru

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Allahyarham USMAN AWANG
1979

Selamat Hari Guru kepada sekalian warga pendidik, khas sekali buat guru-guruku. Profesyen perguruan bakti dibawa ke akhir hayat. Sekalipun usia mencecah persaraan, kalian bergelar cikgu selalu, tanpa henti. Terima kasih!

klik yuk!

March 30, 2009

Selamat Datang

Selamat datang ke dunia wahai Wan Ahmad Mua'dz Fawwaz bin Wan Mohd Ikhwan bin Wan Ariff bin Wan Muda.

Teriakanmu berkumandang tika azan memanggil waktu asar dilaungkan. Moga itu menjadi tanda bahawa syiar Islam itu akan kau perjuangkan. Walau ketika waktu yang 'menyempit' seperti asar yang pendek itu. Namun kau pasti cekal bak nama sahabat yang kau pegang, teladannya pasti kau julang. Amin.

Tahniah kepada abang long dan kak long hidayah atas kelahiran putera sulong kalian berdua. Pastinya kedatangan disambut penuh kesyukuran dan penambah ceria dalam kehidupan berumahtangga. Adinda di sini berkongsi gembira ahli keluarga semua. klik yuk!

March 25, 2009

Satu Suis Satu Undi

Dulukala ketika aku masih kecil; tetapi sudah mengerti apa itu penyatuan huruf-huruf menjadi kata, satu majalah yang menjadi hidangan biasa adalah Bintang Kecil. Arwah ayah selalu melanggan buku ini dari kedai surat khabar kegemarannya. Rasanya majalah ini masih wujud walaupun aku tak tahu samada konsepnya masih sama atau bukan.

Dalam banyak-banyak benda yang aku baca dalamnya, ada satu kata hikmah yang sampai sekarang masih terlekat dalam sel-sel otak. Relevan dan signifikannya kata hikmah itu menyebabkan aku terpanggil menulis entri kali ini. Ia berkaitan dengan event yang semakin dekat pada hujung minggu ini.

And here goes the wisdom:

When all the trees have been cut down,
when all the animals have been hunted,
when all the waters are polluted,
when all the air is unsafe to breathe,
only then will you discover you cannot eat money.

(Native Indian Prophecy)

Kata-demi-kata terjemahan:

Bila smua pokok telah ditebang,

Bila semua haiwan telah diburu,

Bila semua minuman telah dicemari,

Bila semua udara tidak lagi selamat disedut,

Tika itu manusia sedar duit tidak boleh dimakan.


Mainkan peranan kita. Bertindaklah sebelum terlambat. Blog ini menyokong kempen Earth Hour sebagai usaha kolektif umat manusia yang cintakan rumah kediaman mereka ini. Mari sama-sama kita menutup suis selama sejam bermula jam 8.30 malam sabtu ini. Sebar-sebarkan!


ps: nampaknya malam itu kenalah bergantung pada bateri laptop saja…hmm,alamak! Suis modem kena tutup juga.ishh…takde internetlah malam tu gamaknya.

pps: rakan-rakan di hemisfera utara, jangan lupa malam itu kena tukar jam satu jam kehadapan.

ppps: tugas menjaga alam ini bukan saja tanggungjawab kita sebagai penghuni bumi, bahkan lebih-lebih lagi sebagai muslim yang mukmin. Baca ulasan ustaz hasrizal. klik yuk!

November 24, 2008

Schnee Kommt!

Dua musim sejuk kebelakang, salji tidak turun sehinggalah hampir kepada tahun baru atau melangkau tahun seterusnya. Sehingga ada yang mengatakan betullah teori bahawa kelak empat musim akan luput. Yang tinggal hanya musim sejuk dan panas yang keduanya tidak ketara perbezaannya.

Kelmarin salji turun buat pertama kali musim ini. Lebat tapi sekejap namun cukup untuk menceriakan keadaan yang memang gloomy dalam winter. Bak kata teman "Barulah ceria tengok benda yang putih camni".

Malam ini rasa sukar untuk tidur. Penangan tidur siang dan makan malam yang agak lewat dari biasa mungkin.Melihat ke luar jendela salji pusingan kedua terus mencurah-curah. Hmm..setelah putih bumi dilitupi baru kuperasan.Lebatnya sudah berkurang dan sekonyong-konyong terdetik mahu mengambil fotonya.Puas hati juga melihat hasilnya walau tak seberapa. Mungkin bagus buat titipan pengunjung setelah lama tiada kiriman di sini. Terimalah seadanya dariku di negeri atas angin ini.Doakan semoga tidurku malam ini puas walaupun sedikit ya..hehe

lampu jalan depan rumah
angle belah kiri sikit
dedaunan putih
hitam putih kehidupanku

Syukur kerana masih lagi ada kesempatan melihat salji tahun ini.hmmm..apelagi ya..oh

Bismikallahumma Ahya wa Amuut!

klik yuk!

November 23, 2008

Renungan

Dari Hassan Basri yang bermaksud:

"Sesungguhnya kerosakkan hati adalah berpunca dari enam perkara :
1. Mereka melakukan dosa dengan harapan akan bertaubat.
2. Mereka menuntut ilmu, tetapi tidak mahu mengamalkannya.
3. Apabila beramal, mereka tidak ikhlas.
4. Mereka memakan rezeki Allah, tetapi tidak mahu bersyukur.
5. Mereka tidak redha dengan pemberian Allah.
6. Mereka mengkebumikan orang-orang yang mati tetapi tidak mahu mengambil iktibar." klik yuk!

September 30, 2008

Salam Aidilfitri 1429H




kiriman ke kantung email:

ADALAH DIMAKLUMKAN BAHAWA TARIKH HARI RAYA AIDILFITRI BERSAMAAN 1 SYAWAL 1429H DI JERMAN JATUH PADA 30HB SEPTEMBER 2008 (SELASA). DIKESEMPATAN INI, KAMI DI KEDUTAAN BESAR MALAYSIA BERLIN INGIN MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN KEPADA SEMUA PELAJAR/PEGAWAI MALAYSIA SERTA KELUARGA DI NEGARA INI. SEMOGA AIDILFITRI TAHUN INI DISAMBUT DENGAN PENUH KECERIAAN DAN KESEDERHANAAN.



oleh itu blog ini mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri buat semua muslimin muslimat. Semoga lebaran ini disambut dengan meriah sekalipun tanpa saya di sisi.(chewah..)

In diesem Sinne wünsche Ich Ihnen ein gesegnetes Fest, 'Id Mubarak und Bayraminiz mübarek olsun!

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillahi al-Hamd!

Baca artikel Ust. Zaharuddin: Yang perlu & Yang jangan dilakukan.

klik yuk!

September 29, 2008

Di akhir Ramadhan




Ya Allah, ya tuhan kami
Kami bersyukur pada-Mu
Kerana Kau beri kami kesempatan
menyempurnakan ramadhan kami
Terimalah ibadat kami, ampuni kami
dan jadikan kami di kalangan hamba-Mu yang bersyukur.

Wahai tuhan pemilik ar-Rayyan!
Jadikan puasa kami saksi atas kami
dan bukan melawan kami
bersihkan hati kami dan dosa kami
kasihani kami ya Allah
kerana kami tiada apa
tanpa redha engkau

Ya tuhan pemberi rezeki dan penentu mati
Jika ramadhan ini bagi kami terakhir kali
maka kami pohon Kau terimanya ya Allah
sebagai penghapus dosa kami
dan pahalanya dikau tambahi
andai diberi kesempatan lagi
maka tiada lafaz sebaiknya
selain pada-Mu kami syukuri

Ya Allah
di syawal-Mu yang menjelang
berikan kegembiraan pada ahli keluarga kami
insan-insan yang dekat di hati
rakan taulan sahabat handai
dan semua insani
agar kami dapat bersama-sama berhari raya
walau jauh di mata
walau tak dapat bersua
kepada mereka kami pohoni sejahtera.

Taqabbalahhu minna wa minkum
Shiyamana wa shiyamakum! klik yuk!